6 Oct 2011

Moga tabah

Bismillahi rahmanirahim~

Masuk bulan ketiga bekerja. Alhamdulillah, moga Allah merahmati dan memberkati rezeki yang dilimpahkan-Nya. 
“Ya Allah, tiada kemudahan melainkan apa yang Engkau jadikan mudah; dan Engkaulah yang menjadikan dukacita itu menjadi mudah jika Engkau menghendakinya.”

Masuk bulan pertama memandu ke tempat kerja. Alhamdulillah, moga Allah melindungi hamba-Nya ini.
“Segala puji bagi Allah,Maha suci Allah yang menyediakan kenderaan ini untuk kemudahan kita dan kami tidak terdaya menguasainya, dan sesungguhnya kepada Tuhan kitalah, kita akan kembali.”
.........


Seorang diri di situ. Kena kuat, sabar dan berpendirian. Berdiri untuk hak sendiri. Dugaan..tak usah dikata, memang tak cukup jika dihitung dengan jari. Yang terbaru, memang meruntunkan jiwa kecil ini..tapi biasalah. Hidup bermakna kita berdepan dengan masalah. Orang yang tidak mahu berdepan dengan masalah maka dia tidak layak untuk hidup di dunia ini. Betul?
Berlapang dada kepada Allah, bahawa Allah menentukan segalanya. Yakinlah.
Masalah yang dilalui mematangkan jiwa, mematangkan akal, mematangkan peribadi. Hari ini, bila saya mengatakan saya mahu melakukan sesuatu dan saya akan lakukannya kerana, saya sudah masak dengan mereka dan saya mula berjaga-jaga dalam mengatur langkah. 

.........

Dalam tempoh bekerja ini juga, saya terharu melihat adik-beradik yang datang menjalani terapi dengan saya. Kedua-duanya tak mampu berjalan dan bertutur. Bermasalah dalam motor kasar dan juga motor halus. Ceritanya..minggu lepas. Bila tiba waktu rehat, adik-beradik ini akan dibawa oleh bapa mereka untuk makan pagi. Saya hairan melihat si abang yang belum menyentuh makanan. Rupanya, dia menunggu si adik, yang masih menjalani sesi terapi dengan fisioterapi. Apabila si adik muncul dari pintu bilik fisioterapi, si abang mengesot dan menjerit-jerit tanpa butir kata, sambil melambai-lambai memanggil adiknya dengan muka gembira - memanggil si adik untuk makan bersama-sama. Sungguh. Hati saya tersentuh. Mereka yang serba kekurangan masih menunjukkan kasih sayang kepada adik-beradik sendiri..

.........

Di sini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada abah dan mak. 

Abah banyak berkorban untuk saya. Abah menghantar dan menjemput saya sepanjang tempoh sebulan bekerja. Belikan kereta (dan saya hanya membayarnya setiap bulan), mengajar dan menemani saya yang tak cekap memandu selama sebulan sehingga saya yakin dan dapat memandu sendirian ke tempat kerja dan ke mana-mana. Mak juga sama seperti abah, banyak berkorban untuk saya. Mak selalu memberi perangsang..menguatkan semangat dan mengingatkan "tangan dan kaki bekerja, tapi hati mengingati Allah" dan kata-kata mak umpama pengubat hati. Saya jatuh, mak ada di sisi. 

Terima kasih untuk abah dan mak yang sentiasa memberi sokongan kepada saya sepanjang 23 tahun ini. Hanya Allah saja yang dapat membalasnya..saya selalu doakan..
“Ya Allah! Ampunilah aku, kedua ibu bapaku dan kasihanilah keduanya sebagaimana mereka mengasihani aku sejak kecil.”


Nota kaki: Konvo saya jatuh pada 22/10 ini :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...